
Sememangnya, bakat yang dimiliki oleh Adibah Noor atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohd Omar tidak dapat disangkal lagi. Bukan sahaja berbakat dalam menyanyi, malah beliau turut dianugerahkan keistimewaan untuk tampil hebat dalam bidang lakonan. Kali ini, artis yang pernah membintangi filem ‘Gubra’, ‘Buli Balik’ dan ‘Sepet’ ini bakal muncul dalam sebuah persembahan muzikal di The Royal Arts Gala.
The Royal Arts Gala merupakan sebuah persembahan hiburan yang menggabungkan dua acara gilang-gemilang iaitu Persembahan Diraja (persembahan muzikal) dan Tahun Melawat Malaysia 2014 pada 25 Januari 2014 nanti.
Kedua-dua acara ini mendapat kerjasama daripada My Performing Arts Agency (MyPAA), Jabatan Kebudayaan dan Seni Negara (JKKN) serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).
Persembahan yang berkonsepkan hiburan ini merupakan acara kemuncak bagi The Royal Arts Gala tersebut. Bakal dipersembahkan selama 45 minit, persembahan ini akan dibintangi oleh artis-artis tersohor Malaysia termasuklah Ezlynn yang popular menerusi lagu Hi Hi Bye Bye, Tony Eusoff, bintang teater muzikal Malaysia serta Adibah Noor, artis Malaysia yang berbakat besar.
Ezlynn memegang watak Puteri Artilla dalam Persembahan Diraja itu nanti.
Persembahan ini bakal diarahkan oleh pengarah terkenal, Adlin Aman Ramlie yang pernah memperoleh pengiktirafan melalui beberapa karya filem termasuklah filem Puteri Gunung Ledang.
“Persembahan muzikal ini merupakan yang paling terbaik antara yang terbaik yang pernah dihasilkan. Visi saya adalah untuk mencipta sebuah karya seni yang berpotensi untuk dipentaskan dalam produksi menyeluruh, yakni sebuah seni persembahan bertaraf dunia kepada penonton,” - Adlin Aman Ramlie.
The Royal Arts Gala pernah memperoleh dana sebanyak RM700, 000 dan telah sempurna diagihkan kepada 31 penerima termasuklah Akasha, Rhythm in Bronze, Five Arts Centre serta Rumah Anak Teater pada tahun 2012 yang lalu.
Sedikit sinopsis mengenai persembahan ini, ia mengisahkan tentang Puteri Artilla (lakonan Ezlynn) dan Putera Syah Rohan (lakonan Tony Eusoff), dua pasangan yang sering berbeza pendapat, akhirnya telah ditunangkan tanpa mendapat persetujuan daripada Tuan Puteri. Di sinilah para penonton akan dihidangkan dengan kisah hubungan kedua-dua pasangan ini dalam menyelami hati budi masing-masing.
Bagi anda yang tidak sabar-sabar untuk menyaksikan persembahan ini bolehlah segera menghubungi 03 6207 9566 atau emailkan ke rag@mypaa.com.my.
OHBULAN
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.