Breaking News
Loading...
Sunday 26 January 2014

Kerana Bertudung Penyanyi Diarah Turun Pentas?

20:15:00
Kerana Bertudung Penyanyi Diarah Turun Pentas?

ADA lagi isu kontroversi melanda wanita bertudung kali ini melibatkan seorang penyanyi, Marinatasha Isnariah Mustapar, 33 tahun, yang sepatutnya membuat persembahan pada satu majlis makan malam tetapi diarahkan turun daripada pentas utama majlis berkenaan.

Marinatasha sepatutnya bernyanyi bersama pancaragam Rufus dalam satu program Makan Malam Tahunan untuk sebuah syarikat pemaju hartanah yang berpusat di Plaza Damas di Sri Hartamas.

Kejadian itu berlaku di Roof Lounge, Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara di hadapan kira-kira 100 orang tetamu kira-kira pukul 8 malam tadi.

“Saya rasa sangat malu kerana sudah bersiap sedia mengambil tempat di atas pentas dengan mikrofon. Saya terpaksa mengemaskan buku nota lirik dan membawa turun bersama note stand,” katanya.

Arahan berbaur diskriminasi itu dikeluarkan oleh salah seorang pegawai tertinggi syarikat berkenaan.

Menurut Marinatasha lagi, individu sama ada menemuinya sebelum acara berlangsung dengan meminta dia mencari penyanyi ganti yang tidak bertudung untuk menjayakan persembahan tersebut.

“Semasa saya mengadakan latihan bersama pemuzik di studio Plaza Damas pada 16 Januari lalu, wakil syarikat itu ada bersama dan mereka tidak pernah persoalkan mengenai tudung yang saya pakai. Hanya semasa hari majlis tersebut, pegawai itu menimbulkannya atas alasan tidak sesuai, sedangkan ada tetamu yang datang berhijab.” katanya.

Artis Akademia Fantasia 8, Zafarina Jamhari atau Farina yang muncul kemudian dalam persembahannya turut bersimpati dengan mengundang Marinatasha untuk naik ke atas pentas bagi menyanyikan dua buah lagu, “Someone Like You” dan “Price Tag”.

“Saya lihat tetamu tiada sebarang masalah dengan penampilan saya berhijab. Malah Pengerusi kumpulan syarikat berkenaan, turut meminta saya menyanyi lagu tambahan,” jelas Marina yang kemudian telah dimarahi oleh pegawai berkenaan setelah selesai persembahan tersebut.

Marinatasha berkata pegawai berkenaan telah memanggilnya di bahagian luar dewan kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya menyanyi dalam keadaan bertudung.

Setelah melepaskan kemarahannya, pegawai itu meninggalkannya bersama Penolong Pengurus Pembangunan syarikat, untuk menyelesaikan isu bertudung itu.

Bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan (Aswara) dalam bidang muzik dan vokal itu menjadi mangsa diskriminasi perkauman buat kali pertama setelah 12 tahun bergiat dalam industri tersebut menyifatkan tindakan penganjur sebagai satu penghinaan terhadap agama dan kepercayaannya sebagai seorang Muslim.

“Kita berada di Malaysia bukan Amerika Syarikat. Malah Amerika Syarikat pun sudah menerima penyanyi Malaysia berhijab seperti Yuna. Apa masalah kita di Malaysia? Yang menyanyi mulut saya bukan tudung saya!” katanya.

Marinatasha telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada jam 2.40 pagi tadi selepas pulang dari majlis tersebut.

Dalam isu yang sama, seorang guru saudara Islam baru, Choi Yi Shan, 25 tahun, telah diarahkan untuk membuka tudung semasa mengajar di SJKC Nan Ya, Teluk Sengat, Johor sebelum ini. – MyNewsHub

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Toggle Footer