Breaking News
Loading...
Friday 24 January 2014

Review Filem : Siapa Sebenarnya Frankenstein?

07:18:00

Review Filem : Siapa Sebenarnya Frankenstein?

Sebuah lagi karya filem yang diadaptasi dari novel berjudul I, Frankenstein bakal memenuhi senarai tayangan filem bergenre aksi misteri di pawagam-pawagam tempatan.
Naskhah asal yang ditulis oleh Kevin Grevioux ini telah diarahkan oleh Stuart Beattie dan watak-watak di dalam filem ini dihidupkan oleh pelakon berbakat seperti Aaron Eckhart, Yvonne Strahovski, Bill Nighy, Miranda Otto, Jai Courtney dan ramai lagi.
Filem berdurasi 1 jam 40 minit ini mengambil latar dunia zaman sekarang yang menyaksikan perebutan kuasa antara dua puak bermusuh iaitu gargoyle dan roh jahat.
Review Filem : Siapa Sebenarnya Frankenstein?
Gargoyle yang berpanjikan pegangan agama Kristian sedaya upaya menyembunyikan makhluk ciptaan Victor Frankenstein bernama Adam (Aaron Eckhart) dari ditemui oleh ketua roh jahat, Putera Naberius (Bill Nighy).
Secara luarannya, Adam tiada beza seperti manusia biasa walaupun seluruh tubuhnya dipenuhi kesan jahitan yang diperolehi sewaktu Victor menghidupkannya kira-kira 200 tahun lalu.
Namun hati Adam yang tidak berjiwa membuatkannya diburu oleh roh-roh jahat agar jasadnya boleh dirasuk bagi menumpangkan roh jahat yang telah mati.
Tidak lama kemudian, peperangan kecil terjadi antara dua puak hingga mengakibatkan puluhan gargoyle mati dan Leonore dijadikan tebusan sebelum roh jahat memiliki jurnal usang Victor Frankenstein.
Review Filem : Siapa Sebenarnya Frankenstein?
Jurnal milik saintis terunggul itu mengandungi rahsia bagaimana untuk menghidupkan sesuatu yang telah mati dan ianya sangat penting kepada Naberius bagi membentuk sekumpulan besar roh jahat.
Adam yang tidak pernah mengetahui cerita sebenar di sebalik kewujudannya berasa terpanggil untuk merampas semula jurnal tersebut dari tangan Naberius.
Sebaik sahaja membaca jurnal berkenaan, Adam yang pada asalnya ingin mematahkan niat jahat Putera Naberius mula mempunyai perancangan lain.
Persoalannya kini, apakah yang terkandung di dalam jurnal tersebut hingga Adam sanggup meminta bantuan dari salah seorang orang suruhan Putera Naberius?
Review Filem : Siapa Sebenarnya Frankenstein?
Namun sebelum anda pergi menonton I, Frankenstein bagi mendapatkan jawapan kepada soalan di atas, haruslah diketahui bahawa filem ini mempunyai plot cerita yang sedikit longgar di mana terdapat beberapa watak atau babak yang tidak dikembangkan dengan baik.
Sebagai contoh, watak Gideon selaku orang kanan Leonore yang tidak menyukai Adam hingga sanggup membunuhnya namun tidak diceritakan dengan terperinci tentang punca sebenar dendam itu terjadi.
Malah beberapa orang yang hadir sewaktu pra-tonton filem ini turut mengeluh kerana objektif filem ini seakan samar-samar dan sukar difahami oleh penonton.
Bagaimanapun, pasti pandangan setiap orang berbeza mengikut citarasa mereka tersendiri. Mungkin anda menggemari jalan ceritanya, siapa tahu kan?
Bagi yang ingin mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi kepada Adam, gargoyle dan roh jahat berkenaan, jangan lupa saksikan I, Frankenstein yang akan mula ditayangkan pada 23 Januari 2014.

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Toggle Footer