
Peminat tegar kumpulan Search yang arif asal-usul band itu pastinya bukan mengenali Amy sebagai vokalis saja malah masih ingat dengan Moq.
Pernah berjuang bersama band itu pada 1999, biar namanya jarang kedengaran di arus perdana, penyanyi terbabit dalam diam terus menghidupkan kerjayanya dalam muzik hingga kini.
Sudah bertahun-tahun mengaktifkan diri menyanyi bersama kugiran di kelab mahupun hotel, terbaru dia dan band Rock of Ages mengisi slot persembahan di The Camelot, Hotel Royale Bintang Damansara pula.
Stigma masyarakat selalu menganggap penyanyi sebegini tiada kemajuan namun berbicara hati ke hati dengan Moq, menurutnya takkan wujud isu sebegitu apabila minat mendalam itu sudah ada dalam diri.
“Hidupnya kami dalam kerjaya menyanyi di tempat sebegitu semuanya atas dasar kecintaan mendalam terhadap muzik. Lagipun, ini sebuah kerjaya juga dan kami memang pemuzik sejati dalam hati.
“Memang banyak cabarannya namun kami tidak pernah mengendahkan itu selagi percaya apa yang kami perjuangkan satu kepuasan untuk diri sendiri,” katanya.
Berpeluang menonton sendiri band dianggotai Maya (vokalis), Sham (dram), Yunus (gitar), Loli (gitar) dan Moq sendiri, repetoire yang dipersembahkan agak berlainan daripada band kebiasaan.
Dengan persaingan daripada band yang datang dari luar negara terutama Filipina, mereka tidak menafikan persembahan perlu kekal relevan demi terus menarik perhatian pelanggan.
Bagaimanapun, sukar untuk menduga segelintir pengunjung di ‘lounge’ yang demografinya selalu berpecah dan disebabkan itu Rock of Ages mengakui kena sentiasa fleksibel dengan pemilihan lagu.
“Cabaran utama kami untuk memastikan pengunjung tertarik sebenarnya terletak pada corak persembahan itu sendiri. Tahu sajalah, cita rasa muzik mereka berbeza dan kami perlu akur jika ada meminta lagu bukan-bukan.
“Kami sedaya-upaya akan cuba melunaskan permintaan mereka itu atau paling tidak menggantikannya dengan lagu lain.
“Kerana itulah juga pilihan lagu yang kami nyanyikan terlalu luas baik daripada lagu ‘Oldies’ ke lagu 80-an, rock, R&B, balada hinggalah ada meminta dangdut, kami mainkan saja,” katanya.
Tidak banyak masa untuk diluangkan sepenuh masa bersama-sama, sudah enam tahun berkecimpung dalam kerjaya ini, kata Moq mereka masih perlu berkumpul dua kali seminggu untuk latihan.
“Memandangkan masing-masing pun ada komitmen, selepas kerja jika ada kelapangan kami akan ke studio untuk ‘jamming’ serta belajar lagu baru.
“Pada tahap sekarang ini, kami kena perlu terus relevan agar boleh bersaing dengan band dari luar negara kerana jika dinilai daripada sudut budaya, kami tidak boleh melepasi mereka.
“Maklumlah, mereka tidak dinafikan memang berbakat dan penampilan juga jadi daya penarik utama pengunjung mahu melihat mereka. Bagaimanapun, cara kami pula hanyalah mahu mengikat pengunjung dengan bakat serta kemampuan yang kami tunjukkan,” katanya. -HARIAN METRO
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.