
Manchester: Pengurus Manchester United David Moyes berharap Wayne Rooney sempat pulih daripada kecederaan pangkal paha untuk diturunkan ketika menentang West Ham di Old Trafford hari ini.
Rooney, 28, tidak beraksi ketika United menewaskan Stoke, 2-0 pada suku akhir Piala Liga, Rabu lalu. Bagaimanapun Moyes terdesak untuk melihat penyerang England itu kembali cergas berdepan Hammers bagi memastikan juara bertahan itu kembali mencabar kejuaraan Liga Perdana.
United kini ketinggalan 10 mata dengan pendahulu Arsenal dan dengan Robin van Persie terpaksa disisihkan sebulan akibat kecederaan pangkal paha, Moyes amat memerlukan sentuhan Rooney yang sudah menjaringkan 10 gol untuk memperbaiki kedudukan mereka.
“Dia berpeluang untuk beraksi,” kata Moyes ketika ditanya mengenai tahap kecergasan Rooney.
Sementara itu, Ashley Young berharap gol pertama untuk United sejak Mei 2012 memberi peluang disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Hammers.
Pemain sayap England itu gagal memikat Moyes selepas aksi hambar pada permulaan musim namun dia menyumbat gol pada babak kedua menentang Stoke untuk membantu United melangkah ke separuh akhir.
“Saya gembira dapat menjaringkan gol tapi lebih penting pasukan dapat mara ke peringkat seterusnya,” katanya.
“Semua pemain beraksi dengan baik. Kami mempamerkan semangat juang tinggi dan berharap dapat meneruskan rentak kemenangan apabila menentang West Ham.” Patrice Evra turut berada dalam senarai penjaring dalam aksi menentang Stoke tapi pertahanan kiri Perancis itu menegaskan dia perlu memberi lebih tumpuan kepada bahagian pertahanan berbanding memburu gol.
“Saya sudah lama beraksi dengan United dan tahu boleh menjaringkan banyak gol,” katanya.
“Tapi saya pemain pertahanan dan tugas pertama adalah untuk mengawal bahagian pertahanan. Adalah penting untuk kami tidak dibolosi kerana jika berjaya melakukannya, kami boleh memenangi perlawanan.
“Kami mempamerkan persembahan baik menentang Stoke. Kini kami perlu fokus pada perlawanan ini.” Pemain tengah United, Michael Carrick terlepas aksi hari ini kerana masih cedera otot betis manakala kedudukan pemain pertahanan Serbia, Nemanja Vidic juga masih belum pasti. - AFP
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.