Lagi Kes Kanak Kanak Maut Ditetak Bapa Sampai Putus Ibu Jari
Gambar Hiasan

HULU LANGAT : Dua kanak-kanak yang cedera parah ditetak bapanya di rumah mereka di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, di sini semalam, dilaporkan stabil.

Mangsa, Liyana Norazman, 12, yang sebelum ini kritikal akibat kecederaan di belakang leher dan ibu jarinya putus telah selesai menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam, sebelum dipindahkan ke wad biasa di Hospital Kajang hari ini.

Adiknya, Mariam, 10, yang turut cedera di bahagian belakang kepala dan tangan juga dilaporkan stabil di hospital sama.

Dalam pada itu, siasatan polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, suspek yang dirawat di Hospital Kajang akibat kecederaan di bahagian kepala turut dilaporkan dalam keadaan stabil tetapi tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Awalnya kita mengesyaki suspek cedera akibat terjun ke dalam sungai namun ketika Unit Forensik tiba di lokasi itu, polis menemukan seketul batu berlumuran darah.

“Kita percaya suspek cuba untuk membunuh diri yang mengakibatkan kepalanya cedera teruk,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas), di sini hari ini.

Tambah Abdul Rashid, suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 6 Februari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita juga telah mengambil keterangan daripada saksi serta jiran berdekatan berhubung kejadian tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, jenazah Zulaikha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas), di sini kira-kira pukul 3 petang.

Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian itu yang dihadiri lebih 100 orang termasuk ibunya dan sanak-saudara.

Sebelum itu, jenazahnya dimandikan di Hospital Serdang, dekat sini sebelum dibawa ke Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi untuk disembahyangkan selepas solat Jumaat. – Informasi Dot My