Breaking News
Loading...
Sunday, 12 January 2014

Dia Yang Enggan Jumpa – Zed Zaidi

20:55:00
Dia Yang Enggan Jumpa   Zed Zaidi

POLEMIK Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak berakhir walaupun Zed Zaidi hilang mandat sebagai presiden persatuan itu pada November lalu. Sampai ke hari ini, perang dingin antara Zed Zaidi dan pelakon veteran Abu Bakar Omar masih berterusan. Mereka berbalas-balas kenyataan dan saling menuding jari sesama sendiri.

Zed Zaidi pernah menggalas jawatan Presiden Seniman namun dilucutkan jawatannya setelah mahkamah memihak kepada Abu Bakar yang menuntut agar mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-14 yang diadakan pada 25 Mei 2002 dibatalkan.

Zed mendakwa Omar tidak mempunyai inisiatif untuk menghidupkan kembali persatuan itu dengan menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang baharu bagi memudahkan urusan ahli-ahli yang bernaung di bawahnya kelak.

Sebelum ini, Sensasi Bintang pernah menyiarkan kekecewaan Abu Bakar Omar berhubung kecaman Zed itu. Tegasnya, banyak usaha sudah dilakukan bagi mendapat kata sepakat antara dia dan ahli-ahli yang lain. Bagaimanapun, semuanya umpama hampa kerana Zed tidak mahu bekerjasama.

Terpanggil untuk memberikan respons, Zed sekali lagi tampil meluahkan apa yang terbuku di dada.
“Dia (Abu Bakar) tidak pernah mengajak saya secara peribadi untuk menghadiri sebarang perjumpaan bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan olehnya sebelum kes ini dibawa ke mahkamah,” selar Zed Zaidi mengenai mengenai kenyataan Abu Bakar.

Tambah Zed Zaidi, kenyataan Abu Bakar sebelum ini tidak berasas dan tidak benar sama sekali.
SENSASI BINTANG: Benarkah dakwaan Abu Bakar yang mengatakan anda tidak menghiraukan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar olehnya untuk berjumpa dan menyelesaikan masalah ini secara baik?

ZED ZAIDI: Dia yang enggan berjumpa dengan kami sebelum isu ini dibicarakan di mahkamah. Puas kami memujuknya untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tetapi dia tetap berkeras dengan keputusannya. Saya berasa pelik kerana dia mendakwa saya tidak membalas SMS yang dihantar sedangkan, saya mendapat tahu tentang perjumpaan itu melalui berita yang disiarkan di sebuah portal hiburan dan SMS yang dihantar oleh rakan-rakan.

Anda mendakwa pernah memujuk Abu Bakar untuk menyelesaikan masalah ini secara baik tanpa perlu dibawa ke mahkamah. Apakah reaksinya ketika itu?

Kami cuba untuk menghubunginya untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik, namun, dia tetap dengan pendiriannya untuk menyaman saya. Segala panggilan telefon dan SMS tidak pernah berjawab.
Jadi, apa tindakan anda setelah dia mempelawa anda untuk bertemu bagi mengadakan sebuah sesi dialog secara terbuka bersama?

Mengapa dia perlu mengajak saya untuk berdialog selepas kes ini dibawa ke mahkamah? Sedangkan, saya dan beberapa ahli Seniman yang lain sudah cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan perkara ini sebelum ia diperbesarkan sebelum ini namun tidak diendahkan.

Apa pula komen anda apabila dia mendakwa anda enggan mengemukakan rekod dan data mengenai keputusan kewangan dan audit keahlian?

Sebetulnya, saya mahu membentang rekod-rekod tersebut pada penganjuran Mesyuarat Agung ke-15 tetapi ia tergendala disebabkan keputusan nekadnya memohon injuksi mahkamah pada ketika itu. Lagipun, rekod-rekod tersebut tidak ada dalam simpanan saya kerana semua data-data berkaitan Seniman ada tersimpan di pejabat.

Adakah isu-isu seperti ini menjejaskan perjalanan Seniman?

Ya. Banyak rancangan yang direncana Seniman untuk membantu artis-artis yang memerlukan sepanjang tahun ini terbantut akibat masalah ini.

Apakah tindakan lanjut yang akan diambil oleh pihak anda?

Saya akan menunggu tarikh akhir penganjuran AGM seperti yang ditetapkan oleh mahkamah pada 21 Januari ini. Selepas itu, saya akan mengadakan sebuah sidang akhbar bagi menerangkan satu persatu secara kronologi mengenai isu ini.

Apa lagi yang anda ingin bentangkan pada sidang akhbar yang bakal diadakan nanti?

Seperti yang diminta, saya akan membentang data-data keahlian Seniman serta rekod kewangan persatuan secara satu persatu. Mungkin dengan cara itu ahli-ahli Seniman lain dapat mengetahui status sebenar mereka dalam persatuan. – Kosmo

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Toggle Footer