PENGGUNAAN HVE DIJANGKA TERUS MENINGKAT | KUALA LUMPUR – Permohonan
untuk mendapatkan sijil halal kini dipermudahkan lagi dengan penggunaan
sistem dalam talian, Enjin Pengesahan Halal (HVE), yang sekaligus
mempercepat proses permohonan, demikian menurut DagangHalal Berhad
(DagangHalal).
Pangkalan data HVE, yang menggunakan pengkomputeran awan, bertindak
sebagai pusat penyimpanan senarai produk, perkhidmatan dan badan
pensijilan halal yang telah diakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim).
Ketua Eksekutif Kumpulan Mohamed Hazli Mohamed Hussain berkata HVE
mengandungi lebih 100,000 produk and perkhidmatan dalam sektor makanan
dan minuman (F&B), rumah penyembelihan, logistik, farmaseutikal,
kosmetik dan ramuan.
Sebagai contoh, senarai ramuan yang diimport telah pun mendapat
kelulusan oleh badan pensijilan halal di negara tersebut yang berdaftar
dengan Jakim, katanya kepada Bernama.
“Melalui kaedah baharu ini, pemohon hanya perlu memuat turun sijil halal
daripada HVE tanpa menghubungi pengilang-pengilang ramuan tersebut. Ini
bukan sahaja memudahkan pemohon malah membantu pihak Jakim dalam
memastikan ketulenan sijil tersebut,” katanya.
Sementara itu, DagangHalal menyasarkan jumlah syarikat yang berdaftar
untuk menggunakan HVE meningkat sebanyak 10,000 syarikat dalam tempoh
dua tahun akan datang berbanding hanya 260 syarikat setakat ini, kata
Mohamed Hazli.
Dilancarkan pada 11 Dis lepas, HVE kini diakses oleh syarikat-syarikat
dari pelbagai sektor termasuk hotel, premis makanan segera dan badan
pensijilan halal luar negara.
DagangHalal telah membelanjakan hampir RM3.5 juta bagi membangunkan pangkalan data tersebut.
Terdapat 73 badan halal di seluruh dunia yang diiktiraf oleh Jakim,
melibatkan 57 badan halal bukan kerajaan (NGO) manakala selebihnya badan
halal agensi kerajaan.
Daripada jumlah itu, 26 badan pensijilan halal dari luar negara telah
bersetuju untuk memberikan senarai bahan yang telah diakui sah oleh
mereka kepada HVE bagi memudahkan lagi pemohon sijil halal untuk
mendapatkan sijil halal bagi ramuan yang digunakan.
Berikutan persetujuan itu, 26 badan halal tersebut boleh memuat naik
sijil halal dan maklumat mengenai ramuan yang telah mereka sahkan ke
dalam enjin carian tersebut secara satu persatu ataupun secara pukal.
Bagi mengakses HVE ini, pengguna perlu mendaftar di laman web, http://www.halalverified.com/User/Register.
Mengenai sumbangan HVE kepada industri Halal negara, Mohamed Hazli
berkata proses pensijilan halal dapat dipermudahkan dan membantu produk
halal tempatan mudah dieksport keluar negara.
Beliau berkata proses penyemakan ketulenan sijil halal adalah punca
utama proses pensijilan mengambil masa yang lama, terutamanya apabila
pemohon cuba menukar nama produk, jenis produk dan tarikh sah laku yang
telah tamat.
Dengan wujudnya HVE ini, masalah tersebut dapat dielakkan kerana ia
mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti ‘Quick Response Code’ (QR Code)
untuk mengelakkan sebarang pemalsuan sijil halal terutamanya dari agensi
pensijilan antarabangsa, katanya.
Selain itu, kemudahan ini dapat memastikan sijil Halal yang dimuat turun
jelas serta boleh difahami oleh Jakim, berbeza dengan sijil halal yang
diperoleh sendiri yang sesetengahnya mungkin rosak akibat dihantar
melalui kiriman pos, faksimili dan mungkin tercicir dalam proses
penghantaran.
HVE turut memastikan sijil halal yang hampir tamat tempoh pula hanya
boleh dilihat dan tidak boleh dimuat turun bagi menyekat usaha
memalsukan sijil tersebut, tambahnya lagi.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.