Breaking News
Loading...
Thursday, 19 December 2013

Tanpa rambut

01:05:00
“Memang dari zaman sekolah lagi, saya tidak pernah membuat sebarang gaya pada rambut kerana lebih selesa dengan imej botak. Senang dijaga dan tidak perlu belanja untuk menggayakan rambut.”
Itu kata sebahagian lelaki yang mungkin jenis gemar pada gaya botak dan melihatnya satu simbol kelelakian. Namun tidak semuanya begitu kerana lelaki botak memberikan persepsi berbeza kepada wanita. Mungkin ada melihatnya seksi dan lebih sasa tapi ada juga gadis yang menganggap lelaki botak sebaliknya.
Berbanding wanita yang mengangkat rambut itu mahkota bagi mereka, lelaki sekarang juga tidak kurang perhatiannya terhadap ketrampilan dan penjagaan diri termasuk rambut.

Macam-macam produk rambut untuk lelaki dikeluarkan di pasaran dan kebanyakannya menuntut mereka untuk bergaya dengan mempelbagaikan imej penjagaan rambut kerana ia akan menonjolkan satu imej berbeza.

Lihat saja fenomena Korea hari ini yang mana setiap lelakinya punya gaya dan imej yang besar terutamanya pada penggayaan rambut. Kemudian gaya rambut mereka menjadi ikutan seluruh dunia khususnya golongan remaja.

Justeru masalah rambut gugur atau botak yang bukan pilihan sendiri sangat ditakuti kebanyakan lelaki khususnya bagi mereka yang masih muda. 

Seperti mana kata Ejen Gen Y juga pelajar jurusan Sains Bio Kesihatan di Universiti Malaya, Ahmad Khushairi Ismail, 22, botak adalah satu masalah besar bagi kebanyakan lelaki namun tidak pada dirinya.

“Kebetulan saya memang botak dan menjadikan imej itu sebagai identiti kepada diri saya. Saya selesa botak dan melihat ia sebagai satu ketrampilan buat saya sebagai lelaki kerana botak itu menonjolkan sifat kelelakian. 

“Paling seronoknya, saya tidak perlu menyikat rambut dan langsung tak payah membeli segala kelengkapan penjagaan rambut seperti syampu dan perapi. Jimat duit dan tidak pening kepala.

“Bagaimanapun saya tidak pernah ada masalah rambut seperti keguguran ataupun kelemumur. Jadi saya memang tiada masalah kalau nak kembali mengenakan imej berambut atau pun tidak. 

“Botak saya adalah pilihan untuk nampak lebih menarik. Tapi tidak dinafikan, rambut gugur atau sebarang masalah serius pada rambut adalah menakutkan namun sekiranya saya punya masalah seperti itu, botak adalah penyelesaian terbaik sebagaimana imej saya sekarang,” katanya. 

Tambah Khushairi yang menjadikan futsal sebagai hobi utamanya, imej botak juga mudah menonjol di mata gadis kerana ia berbeza berbanding kebanyakan lelaki lain.

“Biasalah lelaki botak akan lebih dipandang dulu berbanding mereka yang sibuk menggayakan rambut. Justeru perhatian akan lebih kepada saya,” katanya berseloroh. 


1 sm sebulan

Hormon sebenarnya punca botak. Lazim­nya berlaku kepada lelaki tapi bukan berkenaan seksual. Kebelakangan ini, lelaki banyak merungut mengenai masalah keguguran rambut dan kelemumur. Walaupun masalah ini berkait rapat dengan hormon testosteron, ia tidak bermakna masalah keguguran rambut adalah masalah seksual bagi lelaki.

Pertumbuhan rambut mengikut putaran ketumbuhanya yang mampu bertahan selama dua hingga tiga tahun. Sehelai rambut memanjang satu sentimeter (sm) sebulan. Sejumlah 90 peratus daripada rambut di atas kepala kita menjalani tumbesaran dan hanya sepuluh peratus berada dalam fasa rehat yang bertahan untuk beberapa bulan sebelum ia gugur dan rambut baru akan mula menjelma.

Perkara biasa jika sesiapa mengalami masalah keguguran rambut setiap hari dan ada kalanya ia berlaku secara ketara dan tiba-tiba, baik kanak-kanak, orang muda atau tua, lelaki dan perempuan.

Apabila sebahagian kepala kehilangan rambut dan licin, bahagian itu digelar ‘botak’ dan corak ‘botak’ yang biasa kelihatan ialah corak botak lelaki atau ‘male-pattern baldness’ atau botak yang kekal.

Ia juga dikenali sebagai botak ‘androgenetic’. Corak botak begini sering dialami lelaki dan ia ada kaitan dengan baka. Lelaki yang mengalami masalah ini sejak usia muda akan mendapati corak kebotakan ketara dan ia bermula dari atas dan ke bawah.

Ada pelbagai sebab keguguran rambut secara ketara boleh berlaku, misalnya keguguran rambut secara tiba-tiba selepas dua atau tiga bulan sembuh daripada penyakit. Ia berlaku akibat tekanan penyakit dan biasanya hanya sementara.

Bagaimanapun, jumlah rambut tetap kurang walaupun tekanan itu pulih. Tekanan hormon juga boleh menyebabkan keguguran rambut.

Jika pundi tiroid anda aktif atau kurang aktif, keguguran rambut boleh berlaku. Sama juga jika anda mengalami hormon testosteron yang tidak seimbang. Membetulkan imbangan hormon dapat membantu memulihkan keadaan.

Sesetengah ubat boleh menyebabkan keguguran rambut seperti ubat mencairkan darah, ubat untuk penyakit gout dan tekanan darah tinggi, pil merancang keluarga dan ubat ‘antidepressant’ atau ubat pengawal kemurungan.

Sesetengah penyakit kronik seperti psoriasis dan kencing manis boleh menyebabkan keguguran rambut. Penyakit kulat pada kulit kepala juga boleh menyebabkan masalah ini. Apabila kulat dihapuskan, rambut akan kembali tumbuh.


Mudah risau

Penting untuk anda berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan mengenai keguguran rambut. Rujuk kepada doktor keluarga yang akan melakukan pemeriksaan selain bertanya beberapa soalan mengenai amalan harian anda.

Jika masalah anda tidak dapat dipulihkan, doktor akan merujukkan anda kepada pakar berkaitan.

Botak atau keguguran rambut memang menakutkan bagi kebanyakan lelaki walaupun golongan wanita lebih menyifatkannya satu mimpi negeri. Sebagaimana dikongsikan Ejen Gen Y, Mazli Azhar Azmi yang menganggap rambut gugur satu masalah serius jika ia berterusan.

“Saya memang tidak pernah botak, namun sedar yang ramai lelaki berdepan masalah itu jika usia sudah meningkat kerana pelbagai faktor termasuk hormon dan kesihatan diri. Ia memang satu senario yang amat membimbangkan. 

“Bayangkan, ada kalanya rambut gugur sikit saja, saya sudah mula risau dan terus mendapat­kan pelbagai rawatan termasuk perapi rambut. Mujur setakat ini saya belum menghadapi sebarang masalah serius berkaitan rambut,” kata­nya.

Tambah pelajar Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi MARA ini, lelaki yang mengenakan imej botak tampak lebih yakin dan matang. 

“Kawan saya yang berimej botak biasanya lebih cenderung untuk kelihatan ‘gengster’. Tapi sebenarnya kalau kita lihat dengan teliti, mereka jauh lebih dewasa kerana botak itu melambangkan kemata­ngan. 

“Tapi imej itu langsung tidak sesuai untuk saya kerana bentuk wajah tidak mengizinkan. Kalau saya botak sudah tentu nampak kelakar dan sukar untuk menggayakannya. 

“Pada saya, lelaki dengan gaya rambut yang menarik akan menambahkan keyakinan untuk berdepan dengan sesiapa. Saya sendiri mementing­kan soal penjagaan rambut dan bagaimana untuk menggayakannya,” katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Toggle Footer