Pennsylvania : Seorang budak perempuan berusia lapan tahun yang menghidap leukemia akhirnya meninggal dunia selepas beberapa impiannya tercapai.
Antaranya ialah mendengar orang ramai menyanyikan lagu tradisi krismas, bertemu penyanyi Taylor Swift dan impian mendukung bayi, tercapai.
Delaney ‘Laney’ Brown yang berasal dari West Reading, di sini, meninggal dunia pada awal pagi Krismas.
Laney yang ketika itu sedang tenat, telah menerima sokongan daripada beribu-ribu orang yang tidak dikenalinya yang berhimpun di depan rumahnya dan menyanyikan lagu tradisi krismas pada malam Sabtu lalu.
. “Hati saya hancur dan luluh ketika ini. Anak kami menghembuskan nafas di atas katilnya pada 3.10 pagi dengan dikelilingi keluarga dan rakan-rakan. Kami akan merinduinya,’’ demikian status yang ditulis dalam facebook Team Laney.
Laney disahkan menghidap kanser pada May lalu, namun sejak beberapa minggu ini, kesihatannya semakin merosot malah doktor sendiri tidak dapat melakukan apa-apa lagi.
“Hari ini kami menerima berita yang paling buruk dalam hidup. 70 peratus sel kanser telah merebak ke dalam sel darahnya. Jika doktor mahu merawatnya, kanser, virus di dalam badan Laney akan membunuhnya.
Jika doktor merawat virus itu pula, kanser berkenaan pula akan membunuhnya,’’ demikian catatan ibunya, Jennifer Brown dalam facebook Team Laney.
Sebelum meninggal dunia, Laney mempunyai beberapa impian yang mahu dipenuhinya, malah penyanyi Taylor Swift yang membesar di kawasan berhampiran Wyomissing turut membantu mencapai impian budak tersebut.
Yayasan The Make-A-Wish membantu menghubungkan Swift dengan keluarga Brown minggu lalu ketika Laney mempunyai masa yang singkat untuk hidup.
Mereka dipertemukan namun Laney sungguh gugup untuk bercakap dengan Swift. – MyNewsHub
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.