DUNGUN : “Ya Allah..Kau campakkan segera mayat suamiku ke darat, aku reda,” itu doa Amizah Mohd Zain, 25, selepas usaha pasukan mencari dan menyelamat buntu untuk mengesan suaminya Ghafar Manaf, 32, yang lemas ketika mandi di Pantai Sura Tengah, di sini.
Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, mangsa yang berasal dari Semporna, Sabah dikatakan dipukul ombak sebelum ditarik ke laut dan gerakan mencari dan menyelamat mangsa masih menemui jalan buntu berikutan keadaan laut dan ombak yang besar.
Amizah berkata, dia menyedari keadaan ombak besar dan laut bergelora itu menyukarkan usaha mencari suaminya itu, namun dia berharap ada satu keajaiban berlaku.
“Saya berharap agar mayat suami dicampakkan ombak ke darat secepat mungkin. Selagi suami tidak dijumpai, selagi itu hati saya tidak tenang dan tidak dapat tidur,” katanya yang setia menanti kemunculan suaminya di pantai itu.
Menurut Amizah, dia sukar melupakan tragedi ombak besar yang menghempas suaminya di depan matanya sendiri sehingga dia sendiri tidak dapat membantu menyelamatkan mangsa kerana ombak begitu cepat menarik suaminya ke tengah laut.
“Saya tidak sangka niat kami untuk berkelah dan mandi di sini bertukar tragedi. Sebelum kejadian itu, suami bersungguh-sungguh mahu mandi di sini dan sekiranya saya tahu akan berlaku kejadian buruk ini, sudah tentu saya melarangnya.
“Namun, segalanya sudah berlaku dan saya hanya mampu reda dengan suratan Ilahi selain berdoa agar dia ditemui.
“Cuma, saya terkilan hajat suami untuk melihat anak sulung kami tidak kesampaian. Sebelum ini, suami tidak sabar menunggu kelahiran cahaya mata pertama kami selepas empat bulan kami mendirikan tangga,”katanya yang kini sedang hamil dua bulan.
Amizah berkata, dia mengajak suaminya pulang ke kampung di Kampung Alur Tembesu, di sini, pada Isnin lalu, selepas menerima berita ayahnya sakit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, keadaan laut yang bergelora menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat mengambil langkah dengan kaedah pemantauan di sepanjang pantai.
Katanya, keadaan ombak besar dengan laut bergelora itu turut berbahaya untuk penggunaan bot termasuk aktiviti selaman bagi mengesan mangsa.
“Keadaan ombak setinggi dua meter menyebabkan usaha mengesan mangsa dengan menggunakan bot amat berbahaya kepada pasukan menyelamat,” katanya. – Harian Metro
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.