
Kisah seorang teman yang sudah keluar ‘dating’ beberapa kali dengan gadis idaman akhirnya mengambil keputusan mencari jalan untuk memutuskan hubungan. Dengar memang kelakar kerana alasannya kerana gadis cantik tadi rupa-rupanya menyembunyikan rahsia yang lutut dan sikunya gelap hingga mencacatkan penampilan.
Kenapa sampai putus? Katanya, dia tidak mahu teman wanitanya nampak seperti tidak bersih dan menarik perhatian orang lain untuk tertumpu melihat sikunya yang memang jelas ‘berkarat’.
Lawak bukan? Tapi itulah hakikatnya kerana lelaki hari ini pun sudah bijak menjaga penampilan dan kebersihan diri. Jadi apa lagi golongan wanita yang sememangnya perlu mengutamakan soal itu agar tiada siapa boleh mempertikaikan lagi kekurangan diri.
Kebanyakan anak muda tidak kira lelaki ataupun perempuan sering mengeluh ketika melihat keadaan kulit siku dan lutut berwarna gelap. Ia seolah-olah mencacatkan penampilan dan keyakinan diri di depan orang ramai.
Walaupun sudah mencuba pelbagai produk pemutihan namun masalah kulit hitam di bahagian siku dan lutut namun ia tidak berkesan juga. Sapu setiap hari sekalipun, kesan gelap itu masih ada.
Malu jangan cerita kerana sememangnya gadis yang berdepan masalah ini akan sentiasa runsing untuk mencari penyelesaian. Selagi tidak jumpa, baju lengan panjang adalah penyelamat.
Bagi mereka yang suka bergaya terpaksa melupakan hasrat untuk mengenakan skirt pendek kerana bimbang orang akan lebih sibuk melihat kehitaman pada lutut berbanding keseksian yang cuba ditonjolkan.
Sebagaimana yang dikongsikan Ejen Gen Y, Mohammad Syaiful Redzuan yang menyifatkan siku atau lutut hitam menunjukkan seseorang itu khususnya gadis tidak bersih dan jenis tidak menjaga keperibadian.
“Bukan satu penyakit berjangkit atau kemestian untuk seseorang wanita menjaga siku dan lututnya agar tidak menjadi gelap, namun bagi saya secara peribadi, gadis seharusnya sempurna dalam soal-soal begini.
“Kalau lelaki sikunya hitam atau lutut gelap, saya tidak kisah kerana itulah identiti lelaki agar nampak lebih maskulin dan gagah. Mereka biasanya aktif bersukan dan jenis mengambil mudah soal ketrampilan.
“Namun bukankah gadis itu sememangnya perlu menjaga kebersihan diri termasuklah memastikan siku dan lutut tidak menjadi gelap dan kering? Itu wajib untuk mereka pastikan masalah itu tidak timbul hingga mencacatkan pandangan lelaki yang melihat,” katanya.
Pigmen kulit
Tambah Syaiful lagi, soal menjaga ketrampilan diri termasuk menjaga lutut dan siku kini sudah menjadi satu kemestian kerana golongan lelaki sendiri mengambil berat akan soal ini.
“Lelaki yang bekerja dalam sektor swasta di kawasan bandar sendiri begitu mementingkan soal kebersihan diri termasuk menghias kuku dan memastikan soal remeh seperti siku dan lutut gelap akan mengganggu pandangan orang lain.
“Justeru golongan wanita sudah tentu perlu menjadikan hal ini satu aspek penting agar tidak dicela mana-mana lelaki dan wanita sendiri yang akan menganggap mereka tidak menjaga diri.
“Jika menggunakan krim dan segala macam perubatan farmasi tidak berkesan, saya sarankan gadis di luar sana gunakan pula ubat tradisional ataupun petua kampung,” katanya lagi.
Bagaimanapun tahukah anda, sebenarnya punca siku dan lutut menjadi hitam adalah kerana pigmen kulit. Sebenarnya siku dan lutut mempunyai lapisan kulit sangat tebal berbanding kulit-kulit lain. Kerana itulah kedua-dua bahagian ini mempunyai kulit yang sedikit gelap jika diteliti.
Keduanya kerana kelenjar minyak. Keadaan kulit kering pada bahagian siku dan lutut disebabkan oleh wujudnya kelenjar minyak berlebihan. Maka secara tidak langsung perkara ini menyebabkan kulit di bahagian siku dan lutut mudah kering dan semakin rapuh.
Secara amnya, siku dan lutut bahagian yang mendapat tekanan yang lebih. Contohnya bila kamu berlutut dan menopang dagu. Keadaan ini menyebabkan kulit di dua bahagian ini membentuk satu lapisan keras di panggil belulang.
Kulit yang sering terdedah kepada pancaran matahari boleh menyebabkan radiasi. Oleh kerana itulah siku dan lutut kamu sering mengalami belulang dan kehitaman berbanding kulit di bahagian lain. Kerana inilah kulit di bahagian siku dan lutut tidak seindah kulit di bahagian lain.
Perahan lemon
Apa penyelesaiannya? Bagaimana untuk kita singkirkan masalah ini?
Pertama sekali, ambil jus perahan lemon dan sapukan secara rata menggunakan kapas muka di bahagian berwarna gelap. Ulangi untuk tiga kali sehari. Selepas sapu, biarkan lebih kurang 20 hingga 30 minit dan kemudian bilas dengan air putih.
Keduanya, sapukan minyak kelapa pada siku dan lutut sambil memicit bahagian yang berwarna gelap itu lebih kurang lima hingga sepuluh minit. Kemudian biarkan seketika dan seterusnya bilas dengan air bersih. Selain itu, minyak kelapa juga boleh dicampurkan dengan jus lemon untuk tujuan pencerahan dan memutihkan kulit.
Ketiga, ambil sedikit ‘yogurt’ dan campurkan dengan perahan jus lemon. Kemudian gosok dan picit di bahagian siku dan lutut selama sepuluh minit. Biarkan ia untuk seketika. Seterusnya untuk di bilas, gunakan susu segar untuk tujuan pencerahan dan melembapkan kulit.
Keempat, gunakan juga ‘scrub’ yang mempunyai tekstur halus untuk tujuan pengelupasan dan membuang sel-sel kulit mati. Amalkan selalu ketika kamu mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Kelima, untuk mengembalikan kecerahan pada kulit siku dan lutut, campurkan ketiga-tiga bahan seperti badam, madu dan gula lalu sapukan di bahagian kulit yang gelap dan biarkan lebih kurang sepuluh hingga lima belas minit sebelum membilasnya.
Terakhir, sebelum melakukan sebarang aktiviti di luar, pastikan kamu menyapu krim terlebih dulu pada kulit. Amalkan memakai krim setiap pagi dan malam untuk tujuan kelembapan. Sekurang-kurangnya kulit kamu tidak akan menghasilkan belulang dan terdedah kepada radiasi sinar matahari.
Jika cara ini mengundang rasa susah untuk dilakukan, ada juga cara tradisional lain yang boleh diguna pakai termasuk dengan menggunakan kuning telur ayam. Campurkan satu senduk air lemon dengan satu senduk minyak zaitun serta madu. Kemudian sapukan campuran tadi pada bahagian kulit kering sebelum dibiarkan selama 15 minit, lalu bilas dengan air sejuk.
Lakukan setiap hari hingga anda melihat kesannya. Percayalah, nampak dan dengar macam perkara remeh, tapi jangan kerana siku dan lutut anda yang gelap itu akan mengganggu pandangan lelaki yang baru ingin mengurat.
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.