Breaking News
Loading...
Wednesday, 18 December 2013

Bagai sirih pulang ke gagang

17:33:00
Melangkaui dua dekad penganjurannya, Anugerah Industri Muzik (AIM) masih dianggap relevan malah menjadi pemangkin dan kayu ukur untuk melihat pencapaian lapangan seni tempatan.

Namun jika ada tidak tahu, gelanggang AIM yang dibuka pada 1993 adalah cetusan idea Pengarah Urusan Warner Music Malaysia ketika itu, Tan Sri Dr Tony Fernandes.

Objektifnya untuk memartabatkan penggiat seni muzik tempatan bukan sekadar penyanyi saja, sebaliknya pembikinan sesebuah album hinggalah pengkarya yang menjadi tulang belakang sesebuah kejayaan.

Kini selepas 20 tahun, di atas pentas penganjuran sama malam Ahad lalu, Tony Fernandes yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia kembali diundang bagi menerima pengiktirafan tertinggi iaitu Anugerah Seri Wirama.

Foto
Penggiat seni sebulat suara mengangkat ikon muzik yang kini diberi jolokan ‘hero penerbangan Malaysia’ ini selepas melihat sumbangannya dalam membangunkan industri muzik tanah air sejak dua dekad lalu serta tanggungjawabnya mempromosikan komposisi Malaysia di arena antarabangsa.

“Jika tidak kerana idea Tony 20 tahun lalu, AIM tidak akan ada.” Demikian kata Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim malam itu ketika mengundang Tony ke pentas bagi menerima trofi berkenaan.

Keberanian dan ideologi Tony yang sinonim memperkenalkan konsep penerbangan tambang murah menerusi falsafah korporatnya, ‘Kini Semua Boleh Terbang’ tidak mampu disangkal.

Genre muzik dangdut dan nasyid umpamanya adalah risiko pernah dilakukannya sepanjang lebih 10 tahun bersama Warner Music.

Meskipun awalnya idea itu bagai mustahil dan aneh untuk diterima, namun siapa sangka jualan album dangdut di bawah pengawasannya pernah mencatat sejarah apabila ia terjual jutaan unit keseluruhannya.

Belum lagi kumpulan nasyid Raihan yang menempa nama ke peringkat antarabangsa selain menjadi sejarah rekod tempatan.

Semuanya bermula dari satu individu yang percaya serta yakin akan perkembangan muzik itu luas dan global jika ada kesungguhan.

Tony yang pernah dipilih sebagai Tokoh Perniagaan Terbaik 2010 oleh majalah Forbes Asia sebelum ini dalam ucapannya malam itu berkata, masa berjalan terlalu pantas dan jika diimbas semula ketika awal pelaksanaan AIM, muzik Malaysia sudah jauh ke depan selari dengan pencapaian yang luar biasa.

“Siapa sangka, AIM kini sudah menjadi ikon kepada industri muzik kita. Muzik adalah minat serta kesungguhan saya. Jujurnya saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada penganjuran AIM.

“Saya hanya berharap semua penggiat akan terus menghasilkan naskhah yang baik dan jangan sekali rasa tergugat dengan kewujudan cetak rompak atau segala apa halangan yang datang. Sebaliknya kita harus menikmati keseronokan sepanjang menempuhnya.

“Dulunya saya dikenali sebagai ‘Raja Dangdut’ kerana memperkenalkan genre muzik ini tatkala ramai meraguinya. Tapi kejayaan yang diraih melangkaui imaginasi kita semua. Saya gembira melihat Mas Idayu malam ini kerana dialah alasan utama AirAsia melancarkan penerbangan ke Bandung kerana kami acap kali ke bandar raya itu bagi merekod lagu nyanyiannya,” katanya yang baru-baru ini menerima anugerah Commander of the Legion d’Honneur daripada kerajaan Perancis di atas sumbangannya dalam perkembangan ekonomi negara itu melalui industri penerbangan.

Tambah Tony yang dianggap melakukan transformasi dalam landskap industri muzik sejak memimpin syarikat rakaman antarabangsa itu, impiannya untuk melihat industri tempatan akan terus ke depan dalam usaha menembusi peringkat lebih tinggi.

“Jika saya pernah yakin sebelum ini, kenapa tidak keyakinan itu diteruskan. Lihat saja bakat kita hari ini yang sudah ramai ke depan. Walaupun saya sudah mengetuai syarikat penerbangan, namun saya masih menyokong industri tempatan.

“Sekarang juga, kami sudah pun merangka untuk melancarkan syarikat rakaman kami sendiri, Tune Records yang akan beroperasi tidak lama lagi. Mungkin tahun depan, karya Tune Records pula yang akan dinobatkan terbaik di AIM,” katanya berseloroh dan yakin AIM di bawah kelolaan Norman yang pernah menjadi pengacara AIM pertama ketika bersamanya 20 tahun lalu. -Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Toggle Footer