Breaking News
Loading...
Monday, 16 December 2013

Zulfahmi Buka Lembaran 2014 Bersama Honda

11:41:00
 Lebih laju dan lebih berkuasa, itu janji Honda, syarikat pengeluar motosikal terkemuka dunia kepada pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin bagi menghadapi musim baru Kejuaraan Motosikal Dunia tahun depan (2014).

Zulfahmi Buka Lembaran 2014 Bersama Honda

Zulfahmi bakal membuka lembaran baharu bersama pasukan Ongetta Air Asia (CBC Corse) dan tidak lagi memacu jentera KTM, musim depan.

Sebaliknya dia akan menunggang motosikal Honda setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Red Bull KTM Ajo.

Perkhabaran tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

“Faktor utama Zulfahmi beralih angin adalah disebabkan kami telah menerima tawaran yang cukup baik daripada pasukan pengeluar motosikal, Honda. Mereka amat berminat untuk menjadikan Zulfahmi sebagai pelumba mereka," kata Razlan.

Menurut Razlan, Zulfahmi, 22, mula dirisik oleh pasukan pengeluar dari Jepun sejak dari Grand Prix Malaysia, Oktober lalu. Rundingan awal juga telah dilakukan bersama pihak SIC dan Zulfahmi sendiri.

Jelasnya lagi, Honda mempunyai impian besar untuk mencipta kejayaan dalam perlumbaan Moto3 bersama-sama Zulfahmi, yang mana sasaran mereka adalah untuk menjadi pencabar utama kejuaraan dunia.

“Honda sebenarnya agak kecewa dengan pencapaian mereka dalam saingan kelas Moto3 sejak dua tahun lalu dan mereka mempunyai cita-cita yang cukup besar untuk musim 2014 dengan menjadikan Zulfahmi sebagai sebahagian daripada perancangan mereka untuk bergelar juara.

“Untuk tahun depan, mereka akan memperkenalkan sebuah motosikal baru. Honda hanya akan mengeluarkan enam jentera yang hanya digunakan oleh tiga buah pasukan, dan salah sebuah pasukan itu adalah Ongetta Air Asia," kata Razlan lagi.

Razlan memberitahu, Honda sememangnya berhasrat untuk membangunkan jentera mereka bersama-sama Zulfahmi dan latar belakang anak muda kelahiran Banting, Selangor itu sebagai pelumba Asia merupakan antara faktor mengapa pasukan pengeluar dari negara matahari terbit itu berminat dengannya.

Mengulas mengenai Ajo Motorsport, beliau berkata, Zulfahmi sebenarnya masih memiliki kontrak dengan pasukan berkenaan, tetapi setelah berunding dari hati ke hati, pihaknya berjaya mengeluarkan anak muda itu daripada perjanjian.

Sebagai ganti, Amirul Hafiq Azmi akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zulfahmi untuk beraksi dalam saingan Moto3, tahun depan.

Razlan mendedahkan, selain tawaran menyertai Ongetta Air Asia, Zulfahmi turut menerima beberapa lamaran daripada pasukan ternama dalam saingan Moto3.

Namun, dia memilih Ongetta setelah mendapat jaminan daripada Honda sendiri untuk menyediakan jentera terbaik bagi menghadapi musim 2014.

“Ongetta sebenarnya bukan sebuah pasukan yang asing buat Zulfahmi kerana pada awal kariernya dulu, dia bersama pasukan Ongetta sebelum menyertai Ajo Motorsport. Cuma pada kali ini penyertaannya bersama penaja yang berbeza," ujarnya.

Malah, keputusan Air Asia untuk terus setia bersama Zulfahmi, menurut Razlan, merupakan satu perkhabaran yang amat menggembirakan, walaupun prestasi pelumba tersebut tidak begitu memberangsangkan sepanjang musim 2013.

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Toggle Footer