Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi
Maha Penyayang Sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh.
Gejalanya amat menakutkan, lagi merosakkan.
Pembaca yang amat dikasihi; Tibalah
masanya saya sebagai seorang insan, dengan rendah hati ingin menjawab
segala fitnah dan tohmahan yang telah dihamburkan kepada saya selama
ini. Adalah wajar untuk saya membersihkan nama
saya, maruah suami tercinta dan seterusnya kepimpinan negara agar
fitnah ini tidak terus terpalit hingga menyebabkan saudara saudari
tersalah anggap.
Alhamdulillah, anak-anak boleh terima
walaupun ada ketikanya mereka sedih dengan fitnah yang keterlaluan.
Anak-anak saya cuba melihat kebaikan dan kemurniaan majoriti masyarakat,
bukan minoriti yang sentiasa ada tanggapan negatif. Apabila saya
bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara dan bersoal-jawab
tentang fitnah-fitnah tersebut, mereka boleh menerima penjelasan
daripada saya.
Penjelasan secara ‘face to face’ itu
sangat berkesan. Cuma, mereka hairan, terkejut dan bertanya mengapa
tidak ada orang jawab bagi pihak saya. Saya mana ada pegawai, saya
isteri Perdana Menteri bukan Perdana Menteri.
Justeru, saya akan memberikan sendiri
jawapan setiap persoalan yang timbul supaya masyarakat dapat menilai
kebenarannya. Sikap mendiamkan diri dalam hal ini umpama ‘membunuh diri
sendiri’.
Pertama: Isu Pembunuhan Altantuya Shaariibuu, 19 Oktober 2006
Saya difitnah telah bersama membunuh mendiang pada tarikh kejadian. Nauzubillah. Bagaimana saya mahu membunuh orang sedangkan cicak jatuh di depan mata pun saya melompat lari. Saya juga takut gelap. Apa lagi saya nak mendaki bukit di tempat yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan itu.
Tidak ada daya upaya saya berbuat begitu
Pada tarikh itu juga saya dan Leftenan Kolonel Norhayati Hassan berada
di dalam Majlis Berbuka Puasa Dan Penyampaian Bantuan Hari Raya Kepada
Anak-Anak Yatim Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah
Persekutuan, Kuala Lumpur.
Apabila saya difitnah dan media
menyiarkannya, saya tidak diberikan kekebalan. Mungkin ramai orang yang
tidak tahu bahawa saya disoal siasat di Bukit Aman selama enam jam
gara-gara fitnah itu.
Kedua: Cincin Berlian Berharga RM24 Juta
Saya berani bersumpah, cincin itu tidak
ada di tangan saya. Memang cincin itu masuk (melalui kastam) untuk
dilihat oleh Maira Nazarbayev yang pada ketika itu berada di rumah saya
bagi persiapan majlis pertunangan anaknya dengan anak saya. Beliau
adalah ‘regular customer’ kepada jewelry Jacob & Co.
Perkara ini telah diterangkan secara
lebih lanjut oleh Director of Fine Jewelry Jacob & Co., Philip
Nassimi. Berlian berwarna biru kelabu seberat 30.11 karat itu telah
dihantar pada 15 April 2011 melalui syarikat penghantaran Malca Amit,
New York menggunakan penerbangan House Airway, no bil: 1488134 dari ibu
pejabat Jacob & Co. di New York ke Kuala Lumpur, Malaysia. Ia sampai
pada 16 April 2011.
Setelah dilihat oleh Maira, cincin
tersebut dipulangkan dan keluar dari Malaysia melalui pelabuhan
Singapura pada 20 April 2011. Ia diuruskan oleh Malca Amit Malaysia dan
Singapura. Ia telah dikembalikan ke ibu pejabat Jacob & Co. di New
York pada 13 Mei 2011
Ketiga: Berjoli di Luar Negara
Sumber asal (KLIK SINI) : Rosmah Mansor Shopping Mutiara RM487,687 (AU$150 K) & Anak Datuk Najib Shopping (AU$60K)?
Kebanyakan lawatan saya ke luar negara
kerana mengiringi suami menjalankan tugas. Selain itu, saya juga
menerima jemputan untuk menyampaikan ucapan oleh negara yang berminat
untuk berkongsi apa yang Malaysia lakukan. Memang kebanyakan negara yang
saya dekati ialah negara Dunia Ketiga dan Timur Tengah.
Ini kerana negara-negara inilah yang
memerlukan pendekatan yang saya katakan tadi. Negara-negara lain seperti
Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun dan Korea sudah maju dan
kaya. Jika mahu berbakti, sudah tentu kita mendekati masyarakat atau
negara yang memerlukan idea kita. Kita mahu buat kerja, bukan glamour.
Saya pernah dijemput memberi ucaptama
pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti
Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan Ke12 di Riyadh tahun 2011. Saya juga
menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Akademi Permata Insan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Saudi Arabian Islamic
Foundation for Giftedness and Creativity (Mawhiba).
Bagi saya ini adalah pengiktirafan
terhadap wanita Islam yang mempunyai pandangan sederhana tetapi moden
dan pada masa yang sama tidak melanggar adab kesopanan wanita Timur.
Untuk seorang wanita diterima di kalangan pemimpin-pemimpin dunia lelaki
terutamnya di Timur Tengah bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi
mereka sering memandang rendah kepada wanita.
Apabila wanita Islam mempunyai buah
fikiran yang boleh dikongsi bersama dan buah fikiran itu sememangnya
untuk manfaat rakyat maka mereka memberi penghargaan dengan cara
menjemput kita ke negara mereka untuk menyampaikan ucapan. Masakan saya
sempat untuk berjoli? Lagipun, saya tidak minat berjoli.
Keempat: Pembaziran Projek Permata
Sumber Asal (KLIK SINI) : Projek Permata Meragut Bajet Tahunan Kerajaan Bernilai Ratusan Juta Ringgit
Sejarah membuktikan bangsa yang tiada
pendidikan akan terus ditindas. Saya percaya orang yang mempunyai
pendidikan akan lebih berjaya. Sebagai anak bekas guru, saya faham
tentang bagaimana pendidikan berfungsi untuk membentuk keperibadian
manusia. Pendidikan harus bermula daripada awal.
Justeru, saya mencadangkan penubuhan
Permata. Ini idea baru. Tidak apalah, kalau idea baru memang agak sukar
diterima oleh semua orang kerana mereka tidak memahami apa sebernarnya
yang ingin kita sampaikan. Satu lagi masalah ialah sikap penyokong
politik yang taksub, kita yang tidak dapat membezakan kerja
kemasyarakatan dengan politik. Semuanya mereka satukan. Agak malang
apabila kerja-kerja kemasyarakatan seperti Permata dijadikan motif
politik.
Saya tidak faham mengapa orang
mempertikaikan tentang Permata sedangkan program tersebut adalah untuk
kebaikan generasi akan datang. Ada yang marah-marah apabila kerajaan
mengumumkan bajet yang besar untuk Permata sedangkan tidak ada satu sen
pun duit itu masuk ke poket saya.
Kelima: Bergaya dengan perhiasan mewah
Seperti
kebanyakan isteri pemimpin, saya juga mengiringi suami ke beberapa
negara kerana urusan negara. Ada juga yang menjemput saya atas kapasiti
sebagai isteri Perdana Menteri. Mereka mahu saya memberi ucaptama
tentang pengalaman masyarakat Malaysia terutama yang berkaitan wanita
dan pendidikan awal kanak-kanak.
Apabila saya ke negara tersebut, mereka
menyambut kami dengan mesra sebagaimana kita melayan mereka apabila
mereka ke negara kita.
Itulah adab sopan melayan tetamu.
Sebagai meraikan kehadiran tetamu, kebiasaannya mereka memberikan
cenderamata sebagai kenang-kenangan. Antara cenderamata tersebut
termasuklah cincin, jam, perhiasan diri dan sebagainya. Ada yang diberi
itu mahal harganya dan ditempah khas. Apabila orang memberi kita
sesuatu, sudah tentu tidak manis untuk menolaknya. Kita mesti menjaga
hati mereka apatah lagi kita adalah tetamu. Bagaimana perasaan kita
apabila pemberian kita ditolak orang lain? Tentu kita akan
tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan merasa kecil hati. Dan,
apabila telah diberi, saya pun memakainya. Tak kan nak simpan saja dalam
peti besi sedangkan barang-barang yang diberikan itu dengan ikhlas,
cantik dan sesuai untuk digunakan.
Adalah satu pembaziran jika ia di simpan
‘kaku’ dalam kotak simpanan. Saya sedar ramai mata yang memerhati
setiap apa yang saya lakukan dan setiap apa yang saya pakai. Itu hak
mereka. Saya tidak boleh menghalang. Tetapi, malangnya mereka ini bukan
saja memerhati malah memfitnah saya dengan perkara-perkara yang tidak
masuk akal. Pendek kata, saya tidak mampu memuaskan hati setiap orang.
Yang penting, saya percaya pada apa yang saya lakukan
Keenam: Isu ‘First Lady’
Bagi saya gelaran First Lady tidak
menimbulkan sebarang masalah. Misalnya dalam penganjuran Sidang Kemuncak
Wanita Pertama, peserta yang dijemput adalah isteri-isteri kepada
Presiden, Perdana Menteri atau apa saja gelaran yang diberi kepada
pemimpin tertinggi (yang menguruskan pentadbiran negara).
Mereka adalah First Lady atau Wanita
Pertama dalam konteks suami yang diberi tanggungjawab serta dipilih
rakyat untuk mentadbir Negara. Saya tidak fikir ia sesuatu yang perlu
dipertikaikan. Kita di Malaysia ada institusi Diraja sebagai ketua
negara iaitu yang di-Pertuan Agong manakala ketua kerajaan ialah Perdana
Menteri. Mirip British yang mana Queen adalah ketua negara manakala
Perdana Menteri adalah ketua kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya.
Bagi sesetengah negara seperti Amerika
dan Perancis, ketua kerajaan dan negara adalah Presiden, maka isteri
Presiden adalah Wanita Pertama. Sekiranya kita menggelar Permaisuri
Agong sebagai First Lady atau Wanita Pertama bererti kita telah
‘downgrade’ status baginda. Kedudukan baginda permaisuri adalah yang
kedua selepas Yang Dipertuan Agong. Ini satu kedudukan khas yang
diiktiraf dalam perlembagaan kita. Saya rasa dalam soal ini ramai yang
faham. Cuma mungkin ada sesetengah yang sengaja mempertikaikan dan cuba
menjadikan ia sebagai isu.
Ketujuh: Isu menjadi Perdana Menteri Keenam
Sumber (KLIK SINI) : Tokoh Wartawan Negara cadangkan Rosmah Mansor Masuk Politik Jadi Menteri
Mana
mungkin? Saya hanya mahu menjadi isteri kepada Najib Tun Razak. Kalau
dia orang biasa pun, saya akan bersama dia. Kalau dia jadi Perdana
Menteri itu adalah tanggungjawab dan rezeki yang telah tertulis di Loh
Mahfuz.
Saya tetap akan berada di sisi dia selagi Allah memanjangkan jodoh antara kami.
Saya rasa pandangan salah ini muncul
disebabkan serangan politik. Sudah pasti mereka mempunyai agenda politik
tersendiri. Oleh kerana saya paling dekat kepada Datuk Seri Najib, maka
saya menjadi sasaran. Oleh kerana saya sentiasa bersama Datuk Seri
Najib di mana saja, maka saya dianggap sebagai orang yang menentukan
semua polisi negara sama seperti kuasa Perdana Menteri. Datuk Seri Najib
kata, sebenarnya mereka itu mahu mengenakan beliau tetapi sasaran yang
paling tepat adalah mengenakan saya dulu.
Mereka tak dapat suami, mereka pergi
kepada isteri sebab saya tak boleh nak mempertahankan diri. Orang yang
memfitnah saya dan Datuk Seri Najib ada agenda. Mereka mahu tempat Datuk
Seri Najib. Bagi saya senang, tak salah setiap orang ada cita-cita.
Tapi, caranya kena betul. Jangan sampai menganiaya dan memfitnah orang.
Itu salah dan tidak ada etika.
Agama juga membenci perbuatan itu.
Pembaca yang amat dikasihi; Saya tidak pandai menyusun ayat indah untuk
menjawab semua fitnah ini. Apa yang lahir, adalah terlintas dari rasa
sanubari seorang insan yang dianiaya oleh pihak tertentu. Saya serahkan
kepada Allah. Kalau mereka insaf, syukur Alhamdulillah. Saya sentiasa
memaafkan. Tak apalah mereka memfitnah saya, Tuhan akan beri yang baik
kepada saya. Ingat zaman nabi dulu, bila orang kutuk baginda, baginda
beri pisang kepada orang itu.
Semoga Allah memberkati para pembaca semua. Sekian daripada saya, Rosmah Mansor.
P/S : Apa pandangan anda, dengan jawapan balas Rosmah Mansor dengan semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya selama ini? -
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.