KUALA KANGSAR - Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) disarankan supaya meneroka potensi wakaf untuk dijadikan salah satu sumber pendapatan.
Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, sejarah membuktikan bahawa wakaf telah berperanan penting membantu membangunkan pelbagai institusi pengajian dan institusi ilmu di era kegemilangan Islam.
Baginda bertitah, peranan wakaf dalam pendidikan perlu dilawati semula dan dirintis usaha untuk dihidupkan semula.
“Di negeri Perak, Madrasah Idrisiah telah dibangunkan melalui konsep wakaf. Moyanganda Beta, Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah, adalah pengasas Madrasah tersebut. Marhum Idris telah mewakafkan tanah milik Baginda untuk dijadikan tapak pembinaan Madrasah Idrisiah.
“Mengambil iktibar dari teladan Marhum Idris itu, Beta turut mewakafkan kawasan seluas 100 ekar (40 hektar) untuk tapak kampus pengajian Kuisas,” titah baginda pada Majlis Perasmian Kuisas dan Istiadat Konvokesyen Kali Keenam, di sini, semalam.
Baginda bertitah, era yang semata-mata bergantung kepada sumber tajaan kerajaan untuk membiayai Institusi Pengajian Tinggi tidak akan kekal selama-lamanya.
Titahnya, pergantungan semata-mata kepada dana Kerajaan tidak akan membolehkan Kuisas berkembang pesat.
“Institusi Pendidikan Tinggi yang memiliki autonomi kewangan tidak hanya bergantung kepada sumber kewangan kerajaan dan sumber pendapatan dari yuran pengajian. Sebaliknya ia turut menerokai sumber-sumber pendapatan lain termasuk melakukan urus niaga, penerbitan berkualiti, serta mendapatkan endowment berbentuk kurniaan, tajaan dan derma.
“Untuk itu Kuisas perlu ada perancangan dan pelan kewangan yang mantap untuk menentukan kelangsungannya supaya tidak terkekang disebabkan sumber kewangan yang terbatas,” titah baginda.
Baginda bertitah, keunggulan sesebuah institusi pengajian tidak terletak kepada nama, sebaliknya keunggulan sesebuah institusi pengajian dinilai dari segi kualiti graduan yang dihasilkan.
Baginda bertitah, kualiti graduan yang dihasilkan, amat dipengaruhi oleh kualiti pengajian sementara kualiti pengajian dipengaruhi oleh kualiti tenaga akademik yang berkhidmat di dalam sesebuah institusi pengajian sementara kualiti tenaga akademik pula dipengaruhi oleh budaya pengurusan yang diamalkan oleh sesebuah institusi pengajian.
Titah baginda, pada umumnya, Institusi Pengajian yang berjaya mencapai tahap kecemerlangan dan diiktiraf unggul mengamalkan dua pendekatan utama iaitu menghargai autonomi intelek dan memiliki autonomi kewangan.
“Adalah penting bagi Institusi Pengajian Tinggi mengamalkan budaya autonomi intelek, berada di atas dan berkedudukan bebas dari sebarang pengaruh politik kepartian agar dapat memenuhi falsafah pengwujudannya sebagai perkampungan ilmu yang menghayati prinsip kesatuan dalam kepelbagaian,” titah Raja Nazrin.
SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.