-
SENAI : Sekumpulan pekerja dari kilang pemprosesan makanan di Jalan Permas 9/15, Bandar Baru Permas, dekat sini terkejut apabila rutin harian mereka membersihkan longkang di sekitar kawasan kilang membawa kepada penemuan seekor ular sawa.
Pegawai Pemasaran kilang, Abu Bakar Mohd Khalid, 44 berkata, ular berkenaan ditemui pada kira-kira jam 9 pagi, semalam selepas mereka menyangka longkang berkenaan tersumbat ketika dibersihkan.“Ketika itu
sekumpulan pekerja sedang membersihkan longkang sebelum mereka mengadu longkang sukar dibersihkan mungkin kerana tersumbat.
“Selepas membuka penutup longkang, kami terkejut melihat seekor ular sawa besar di dalam longkang berkenaan,” katanya.
Katanya, mereka segera menghubungi pihak bomba dan penyelamat bagi menangkap ular berkenaan namun tidak berjaya kerana ular berkenaan berjaya menyembunyikan diri ke kawasan lebih terpencil.
“Ular berkenaan mungkin sedang bersalin kulit di situ kerana terdapat serpihan kulit yang tercabut sewaktu pihak bomba cuba menariknya keluar.
“Sebahagian operasi kilang turut ditutup kerana bimbang ular berkenaan memasuki kawasan kilang tanpa disedari,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Johor Jaya, Fadullah Ishak berkata, pihaknya bersama seorang lagi anggota mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menangkap ular berkenaan namun tidak berjaya.
“Kami turut mencurah air panas supaya ular berkenaan keluar dari tempat persembunyian namun tidak berjaya. Jadi kita terpaksa tunggu ular berkenaan keluar dari tempat persembunyian untuk menangkapnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kakitangan kilang berkenaan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak menganggu ular berkenaan sekiranya menjumpainya bagi mengelakkan sebarang risiko. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.