London: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini memaklumkan penyerang bintang skuadnya, Sergio Aguero mungkin tidak dapat beraksi lebih lama daripada dijangkakan.
Pellegrini sebelum ini menjangka Aguero tidak dapat beraksi empat minggu selepas mengalami kecederaan betis sewaktu City mencatat kemenangan 6-3 ke atas Arsenal.
Bagaimanapun, tahap kecederaan dialami pemain itu terus diragui apabila Pellegrini tampil dengan jangkaan baru selepas mendapat khabar kecederaan penyerang itu lebih buruk berbanding apa yang dilihat sebelum ini.
Ketika sidang media selepas City menang 3-1 ke atas Leicester di Piala Liga, Pellegrini berkata: “Saya bukan doktor. Ia sangat sukar.
“Doktor mengatakan dia memerlukan rehat sebulan atau lapan minggu. Kita akan lihat.
“Saya tidak tahu berapa minggu tetapi sekurang-kurangnya sebulan. Sukar untuk mengetahui secara tepat.” Ketiadaan Aguero sepanjang tempoh itu menjadi tamparan hebat buat City ketika penyerang berusia 25 tahun itu sudah menjaringkan 19 gol untuk City musim ini.
Dia sekali lagi menemui sentuhan ketika menentang Arsenal tetapi mengalami kecederaan itu pada awal separuh masa kedua.
Aguero hampir pasti terlepas program Krismas termasuk pertemuan menentang Liverpool di tempat sendiri dalam saingan Liga Perdana dan berkemungkinan tidak dapat beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala Liga bulan depan.
Jangka waktu rehat lebih panjang mungkin menyebabkan pemain antarabangsa Argentina itu tidak bermain bersama City yang akan berdepan Barcelona pada peringkat kalah mati pusingan kedua Liga Juara-Juara pada Februari.
Berita lebih buruk berhubung kecederaan yang didengar Pellegrini turut membabitkan pemain bek kanan Argentina, Pablo Zabaleta yang mengalami kecederaan hamstring ketika menang di Leicester.
Pellegrini berkata: “Pablo menghadapi masalah hamstring. Kita akan lihat tahap kecederaannya.
“Perkara itu saja yang buruk dalam perlawanan berkenaan.
“Sudah tentu kami tidak mempunyai pemain bek kanan. Kami mungkin perlu melihat apa yang boleh dilakukan untuk posisi itu.” - AFP
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.