Breaking News
Loading...
Saturday, 11 January 2014

Ibu Hisap Dadah Depan Anak

13:13:00
Ibu Hisap Dadah Depan Anak
JOHOR BAHRU : Seorang wanita sanggup membawa empat anaknya yang berusia dua, tiga, lima dan tujuh tahun tinggal bersamanya di sebuah rumah terbiar yang juga sarang penagih di Kampung Kangkar Tebrau, Tebrau di sini, sejak hampir setahun lalu bagi memudahkannya melepaskan gian.

Sepanjang tempoh itu, wanita terbabit yang berusia 30 tahun membiarkan anaknya, tiga perempuan dan seorang lelaki, hidup dalam serba kekurangan termasuk mandi menggunakan air longkang, minum air hujan, makan sisa makanan dibuang penduduk kampung serta tinggal tanpa bekalan air dan elektrik.

Malah, wanita terbabit turut didapati kerap melepaskan gian di depan anaknya.

Pada masa sama, bagi menyara hidup, wanita terbabit turut didakwa sanggup mengarahkan anaknya mengemis di pasar malam serta kawasan tumpuan orang ramai.

Perkara itu didedahkan Ketua Kampung Kangkar Tebrau Kamarudin Mustakin sebelum Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan empat anak wanita terbabit, semalam.

Pegawai JKM Daerah Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, empat kanak-kanak berkenaan tinggal bersama ibu mereka di rumah papan dua tingkat terbiar itu yang dikelilingi semak-samun.

“Ketika kami tiba di rumah itu, anak ketiga dan keempat wanita terbabit berbogel, manakala dua lagi dalam keadaan tidak terurus.

“Lebih membimbangkan, rumah itu juga dihuni beberapa penagih dadah lelaki yang bebas keluar masuk untuk melepaskan gian,” katanya.

“Pada masa sama, semua penagih yang ada di situ turut bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran kami,” katanya, semalam.

Menurut Manayi, wanita terbabit pada awalnya menghalang JKM menyelamatkan empat anaknya itu.
Katanya, pemeriksaan mendapati keempat-empat kanak-kanak itu berkudis selain anak ketiganya mengalami masalah hiperaktif.

“Semua kanak-kanak itu bergantung kepada air hujan sebagai sumber minuman, mandi air longkang dan meraih simpati penduduk di situ bagi mendapatkan bekalan makanan.

“Apa yang mengejutkan, pada awalnya, wanita terbabit memaklumkan yang dia sanggup membiarkan anaknya minum air hujan dan mandi air longkang daripada menyerahkan mereka kepada kami,” katanya.

Menurut Manayi, wanita terbabit mengakui menagih dadah dan rela tinggal di rumah berkenaan bagi menjimatkan kos sara hidup memandangkan dia tidak perlu membayar bil utiliti.

Bagaimanapun, selepas dipujuk, Manayi berkata, wanita terbabit bersetuju dia serta empat anaknya diselamatkan JKM.

“Wanita terbabit juga gagal mengemukakan sijil kelahiran keempat-empat anaknya dan mendakwa dokumen berkenaan disimpan di kediaman kenalannya. – Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.

 
Toggle Footer